Selasa, 14 Julai 2009

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Syarikat ini ditubuhkan oleh Encik Mohamed Redzuan bin Mohamed Zain, merupakan seorang OKU (orang kurang upaya) yang bersemangat tinggi dan cekal. Sikap beliau baik hati, pemurah dan bertanggungjawab amat disenangi oleh keluarga dan teman-teman beliau. Berumur 28 tahun dan beliau adalah anak ke 5 daripada 15 orang adik beradik. Dilahirkan di Kelantan dan membesar di Negeri Sembilan.


Sebelum beliau memulakan perniagaan ini, beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang peguam yang terkenal dan telah menerima tawaran untuk menyambung bidang yang dicita-citakan tetapi malangnya sebulan sebelum mendaftar beliau telah mengalami kemalangan jalan raya pada tahun 2000 dan kejadian itu telah menyebabkan beliau menjadi lumpuh dengan tahap kecederaan Spinal Cord Injury, C5 Tetraplagia. Namun ianya tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berdikari kerana beliau berpegang pada prinsip ‘Selagi ada kemahuan, selagi itu ada jalan’.


Diatas semangat itu, beliau memulakan langkah pertama beliau dengan mendaftarkan HIKAYAT LEGENDA Art & Technology pada 13 Februari 2009 di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Seremban. Pejabat utamanya adalah di Lot 830/18 Taman Koperasi Perkasa, Si Rusa 71050, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus. HIKAYAT LEGENDA Art & Technology adalah sebuah perniagaan yang berteraskan seni & teknologi. Beliau memilih seni dan teknologi sebagai asas perniagaannya kerana ingin melihat lebih ramai yang mengenali seni kraftangan melayu serta tidak ketinggalan dalam dunia yang serba moden dewasa ini.

Jenis perniagaan yang dijalankan oleh beliau adalah menjual barangan hasil seni seperti lukisan dan kraftangan, menjual, membekal & menyelenggara komputer serta menjual & membekal barangan/komponen komputer. Beliau juga turut menjual dan membekal Al Quran Digital kerana impiannya yang ingin melihat lebih ramai saudara seagama dengannya yang mendengar dan mengamalkan Kitab Suci itu. Kelebihan Al Quran Digital adalah ia mudah dibawa kemana-mana.


Di awal permulaan perniagaan, beliau dibantu oleh adik-adiknya untuk menghantarnya ke pejabat. Kemudian beliau mengambil 2 orang pekerja untuk membantunya dalam urusan pejabat. Seorang pekerja part time dan seorang lagi pelajar praktikal dari institut pengajian tinggi tempatan. Disamping itu teman-teman beliau turut memberi kerjasama.


Cita-cita beliau kini ingin melihat HIKAYAT LEGENDA berkembang maju sehingga menjadi salah sebuah syarikat gergasi kebanggaan bangsanya dan akan terus menjadi ‘Lagenda’ sampai bila-bila...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.